Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan DAP PP Gagal

Kerajaan DAP PP Gagal

Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa gagal menyalurkan peruntukan sekurang-kurangnya RM22.09 juta kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri, sejak 2008 hingga Jun tahun lalu.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri, Datuk Muhammad Farid Saad, berkata peruntukan itu adalah hasil caruman perparitan diwajibkan kepada setiap pemaju yang menjalankan sebarang projek di negeri ini.

Katanya, dana bernilai RM22.09 juta yang dinyatakan dalam Laporan Audit 2016 itu hanya merangkumi jumlah caruman perparitan oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan tidak termasuk nilai tertunggak di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Caruman ini akan dibayar oleh pemaju kepada MPSP atau Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Ia kemudian perlu disalurkan kepada JPS negeri, bagaimanapun masih gagal sehingga kini.

“Perbincangan berhubung perkara ini sudah sering kali dibangkitkan dan kerajaan negeri dilihat tidak memandang serius mengenainya, sekali gus meletakkan rakyat dalam situasi membimbangkan,” katanya, hari ini.

Semalam, beberapa kawasan sekitar bandar raya itu dinaiki air antara 0.2 meter dan 0.3 meter, ekoran hujan lebat sejak tengah malam Khamis lalu.

Muhammad Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong turut mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi projek penyuraian air.

“Apa tujuan kerajaan negeri simpan dana ini, adakah hanya untuk bermegah-megah? Laporan audit membuktikan kerajaan negeri tidak serius dalam isu banjir kilat yang menghantui rakyat di negeri ini.

“Ia turut menyebabkan masalah banjir kilat di negeri ini sukar diatasi, selain menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa. Malah, mereka lebih berminat untuk menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Farid berkata, konsep ‘poket development’ diperkenal kerajaan negeri yang mengetengahkan ciri naik taraf sistem saliran secara separa, tidak berkesan untuk menangani masalah banjir kilat.

Leave a Reply

Top