Kerajaan mencadangkan jawatan mufti diberi taraf exco di peringkat negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia bagi membolehkan pandangan mereka dalam mesyuarat exco boleh disalurkan kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memastikan pandangan ulama didengari.

Terdahulu, menjawab soalan asal Fauzi, Jamil Khir berkata, kerajaan sentiasa menyediakan platform percambahan ilmu dan pendapat ulama di seluruh negara melalui pelbagai program berkala.

“Antaranya program tahunan Majlis Ulama-umara Bersama Perdana Menteri yang menjadi platform menghimpunkan para umara dan alim ulama serta cendiakawan dalam pelbagai bidang dan kepakaran dari seluruh negara termasuk NGO-NGO Islam.

“Melalui program ini, perkongsian idea dan percambahan pendapat antara ulama dan umara dapat dihimpun dan disatukan sebagai pemangkin pembangunan pentadbiran negara berasaskan maqasid syariah,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Perundingan Islam (MPI).

“MPI ditubuhkan hasil dialog sempena Majlis Pertemuan Tahunan Ulama dan Umara bersama Perdana Menteri pada 22 Disember 2008.

“Peranan MPI adalah untuk mengerat dan mengukuhkan kerjasama serta hubungan antara kerajaan dengan cendekiawan Islam dan ulama dalam mencari pendekatan bagi membantu kerajaan merealisasikan agenda transformasi pembangunan negara menurut landasan syarak,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *