Kerajaan menerusi entiti tujuan khas, Malaysia Sukuk Global Bhd, berjaya menetapkan penanda aras sukuk US$1.5 bilion, yang terlebih langgan 4.2 kali.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Kewangan berkata sukuk berkenaan, Global Trust Certificates (Wakala Global Sukuk), dibahagikan kepada bahagian 10 tahun US$1 bilion dan bahagian 30 tahun melibatkan US$500 juta, masing-masing pada 3.179 peratus dan 4.08 peratus.

“Urus niaga itu menarik minat aggregat lebih US$6.3 bilion daripada gabungan pelabur melebihi 195 akaun,” katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata penetapan harga itu merupakan kejayaan besar berdasarkan harga yang ketat dan sambutan baik ke atas sukuk penting ini.

Harga ditetapkan selepas jelajah di seluruh pusat kewangan dunia, termasuk di sini, Hong Kong, Singapura, Abu Dhabi, Dubai, London dan New York.

CIMB, HSBC, JP Morgan dan Maybank merupakan pengurus bersama dan pengurus bersama utama bagi penawaran ini.

Fitch Ratings Ltd dan Standard and Poor’s Ratings Services dijangkakan memberikan penarafan ‘A-‘ manakala Moody’s Investors Services Ltd pada ‘A3’ ke atas sukuk berkenaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *