Kerajaan Malaysia membenarkan pemegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa sehingga mereka dihantar pulang ke negara asal atau ke negara ketiga termasuklah etnik Rohingya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dalam tempoh sepanjang masa mereka (Rohingya) di sini,  pemegang kad UNHCR di Malaysia, pertama, tidak dinafikan kebebasan bergerak hanya di semenanjung sahaja.

Menurutnya, mereka tidak akan ditahan melainkan terlibat dalam aktivti jenayah dan melanggar undang-undang.

“Kedua, mereka ini takkan dihantar kembali ke negara asal melainkan secara sukarela atau negara itu telah capai keamanan.

“Ketiga, tidak dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dengan diberikan caj potongan sebanyak 50 peratus dari kadar yang dikenakan.

“Manakala, vaksin kepada kanak-kanak adalah percuma. Selain itu, mereka turut dibenarkan untuk mendapat kemudahan pelajaran di sekolah swasta yang dikendalikan UNHCR, NGO dan komuniti pelarian,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang ingin melihat pendirian kerajaan terhadap kedatangan pelarian Rohingya dan usaha-usaha penyelarasan terhadap mereka yang berada di negara ini.

Katanya, isu mengenai sara hidup akses kepada pendidikan dan kesihatan merupakan tanggungjawab sepatutnya diambil tindakan oleh pihak UNHCR.

Jelasnya, kerajaan sedang ambil usaha projek perintis kebenaran bekerja kepada etnik Rohingya. Pada 1 Mac lalu, kerajaan telah membuka peluang kerja dalam sektor perladangan dan perkilangan kepada 300 orang pemegang kad UNHCR ini.

“Namun, sambutannya tidak menggalakkan dan sehingga hari ini, yang datang hanya 40 orang. Mungkin mereka sudah berada di pasaran kerja di mana-mana,” katanya.

Tambahnya, dari semasa ke semasa, kerajaan akan sentiasa kaji tindakan yang boleh dilaksanakan ke atas pelarian yang memegang kad UNHCR yang tidak dapat pulang ke negara asal sehingga bertahun-tahun.

Malah katanya, kerajaan juga turut mengemukakan pandangan di forum antarabangsa bagi memastikan keadaan negara yang menyebabkan pelarian ke Malaysia kembali aman dan memudahkan pelarian ini pulang ke negara asal mereka.

“Ini secara tidak langsung membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia kepada mereka yang dizalimi,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *