Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Akan Teliti Isu Pengharaman Dego Ride

Kerajaan Akan Teliti Isu Pengharaman Dego Ride

Kerajaan tidak akan mengambil sikap terburu-buru dalam memuktamadkan keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan Dego Ride.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyifatkan perkhidmatan Dego Ride sebagai sesuatu yang kreatif berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kabinet tak ada kata setuju atau tidak setuju, belum ada rasmi mengenainya.

“Saya mahu melihat tekanan pasaran (Dego Ride) di luar sana sebagaimana yang berlaku pada Uber dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai isu Dego Ride selepas merasmikan Makmal Transformasi Bas Ekspres di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengenai sama ada isu Dego perlu dikaji semula, Nancy berkata, ia perlu diteliti sebelum mengambil kira beberapa faktor.

“Macam Uber lah, kalau keperluan itu mendesak kita, ia merupakan model perniagaan yang baharu dalam Malaysia maka ia mungkin perlu dipertimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun Rabu lalu, dilaporkan Kabinet bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengangkutan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal ‘Dego Ride’ atas faktor keselamatan.

 

Leave a Reply

Top