Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Akan Pinda Akta Rumah Judi Terbuka – TPM

Kerajaan Akan Pinda Akta Rumah Judi Terbuka – TPM

Akta Rumah Judi Terbuka 1953 akan dipinda bagi membanteras aktiviti judi dalam talian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata draf pindaan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac ini.

“Aktiviti perjudian dalam talian merupakan satu permasalahan yang berat dan usaha membanteras kegiatan ini yang melibatkan penggunaan peralatan dalam talian menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang amal Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) dan penghargaan untuk Allahyarham Ahmad Idris di Dewan Utusan Melayu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan Datuk Mohd Noordin Abbas dan Presiden KVUM Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail.

Ahmad Zahid berkata aktiviti perjudian dalam talian terlalu licik dengan menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak tindakan oleh pihak berkuasa.

Ahmad Zahid mengakui pihak berkuasa menghadapi beberapa kekangan dalam membanteras kegiatan tersebut walaupun kerjasama rapat dijalankan antara agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia.

“TNB yang menjadi pembekal kepada tenaga elektrik juga bekerjasama tetapi pihak Telekom Malaysia yang membekal ‘fix line’ (talian tetap) menghadapi masalah kerana fix line tidak lagi digunakan, sebaliknya mereka menggunakan ‘smart phone’ (telefon pintar) untuk menjalankan aktiviti perjudian.

“Jika pihak berkuasa melakukan serbuan, mereka akan menggunakan taktik lain termasuk menukar nombor,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah menuduh pegawai atau pihak berkuasa ‘menutup mata’ membiarkan aktiviti perjudian berleluasa.

“Kita tidak menafikan ada segelintir yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa yang mungkin dibeli oleh sindiket berkenaan, yang itu kita tidak akan berkompromi jika ada bukti yang kukuh, sila serahkan kepada saya tentang penglibatan pegawai-pegawai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa komited membanteras kegiatan perjudian dan mereka yang terlibat dalam membantu aktiviti itu akan dikenakan tindakan perundangan dan disiplin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata bukan mudah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini.

“Bukan mudah untuk meminta orang bersara atau kita meminta orang bersara awal, mungkin ada beberapa kaedah tertentu yang boleh dilakukan untuk melakukan ‘downsizing’ jumlah perkhidmatan awam ini,” katanya.

Semalam, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dilaporkan berkata kerajaan perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk mengurangkan lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam sekiranya mahu mencapai kadar defisit pada tiga peratus.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melancarkan buku Memoir Wartawan Ahmad Idris: Dari Geylang Serai ke Utusan Melayu.

Ahmad terkenal sebagai kolumnis Desas Desus yang popular pada tahun 80-an hingga 90-an juga merupakan Editor akhbar Mingguan Malaysia.

Leave a Reply

Top