Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Akan Kaji Bina Jambatan

Kerajaan Akan Kaji Bina Jambatan

Kerajaan akan meneliti cadangan supaya sebuah jambatan dibina di Jalan Kasban di Kampung Nibong di sini, bagi menyelesaikan isu ‘banjir termenung’ yang berlaku setiap kali musim tengkujuh di kawasan berkenaan.

Banjir di Tumpat dipanggil banjir termenung disebabkan air yang terkepung dan tidak dapat mengalir keluar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan jambatan berkenaan akan memboleh sebuah saluran air dibina untuk mengalirkan air banjir dari kawasan Pengkalan Kubur di sini dengan lebih cepat ke Sungai Golok.

Najib berkata berdasar anggaran awal, pembinaan saluran air dan jambatan sepanjang 100 meter itu dijangka menelan belanja antara RM9 juta hingga RM10 juta.

“Saya akan arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji cadangan tersebut dan jika sesuai, ia akan dibina dengan kadar segera,” katanya selepas meninjau 646 mangsa banjir daripada 207 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan di sini, Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NaDMA) Datuk Zaitun Ab Samad.

Sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan dilaporkan pernah mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan merobohkan Jalan Kasban-Rantau Panjang berhampiran Kampung Pohon Nibong dan menggantikannya dengan jambatan bagi memastikan banjir termenung di kawasan itu tidak berulang.

Wakil penduduk kawasan itu dipetik sebagai berkata langkah itu mampu menyelamatkan lebih 5,000 keluarga dari 13 buah kampung sekitar daripada menjadi mangsa banjir termenung, yang sering menyebabkan kawasan itu terputus hubungan kerana laluan ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan tambahan di sekolah-sekolah terpilih yang digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir seperti tandas dan bilik mandi bagi memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir.

Najib berkata di luar musim banjir, kemudahan tambahan itu boleh digunakan oleh pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

Mengulas mengenai pengurusan banjir di bawah NaDMA, Najib berkata beliau berpuas hati dengan usaha-usaha yang dijalankan dan setakat ini ia berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat.

“Walaupun ada beberapa perkara berbangkit yang kecil namun secara keseluruhannya, pengurusan bantuan kepada mangsa banjir berjalan dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

Top