Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 atau Akta 164 adalah berdasarkan kepentingan negara.

Mengulas mengenai saranan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya kerajaan menarik balik keputusan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau menghormati pandangan tersebut dan fatwa yang sebelum ini dibuat mengenai perkara itu.

“Tetapi sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Pandikar Amin Mulia), kita akan melihat kepentingan negara mengatasi lain-lain kepentingan.

“Kita harap apa juga keputusan kerajaan, kita mesti berlapang dada, kita menghormati semua agama dan hak semua kaum dan keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya kepada media semasa lawatannya ke The International Modern Arabic School, di sini hari ini.

Semalam, Harussani dilaporkan sebagai berkata pindaan Akta 164 bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Mufti Perak itu berkata bacaan kali kedua pindaan akta berkenaan yang dijangka dibentangkan minggu ini juga bertentangan dengan fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun tahun 2009.

Katanya, jawatankuasa berkenaan memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Justeru, katanya, pindaan akta berkenaan yang menyebut apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dan berlaku perceraian, penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, adalah bertentangan dengan apa yang diputuskan dalam fatwa serta ditetapkan hukum syarak.

Ahmad Zahid berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab membentangkan pindaan Akta 164 itu sebelum pembentangannya di Parlimen.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *