Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kepimpinan UMNO Kedah Bertemu Najib Di PWTC

Kepimpinan UMNO Kedah Bertemu Najib Di PWTC

mh online

image

Kepimpinan UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini susulan desakan mereka sebelum ini supaya Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur.

Najib tiba pada kira-kira 4.45 petang dan dilihat terus memasuki Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk pertemuan itu.

Antara yang kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharum dan Ketua UMNO Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Yang lain ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua UMNO Bahagian Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Pesanan ringkas daripada setiausaha akhbar Mukhriz memaklumkan bahawa menteri besar Kedah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun, tidak menyertai perjumpaan hari ini. Pada Rabu, hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah diketuai Ahmad Bashah menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin kanan UMNO Kedah enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan hari ini ketika ditemui pemberita di PWTC.

Ketua Wanita UMNO Kedah Datuk Maznah Hamid berkata ringkas: “Tidak boleh cakap apa-apa”.

Anggota Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman juga enggan memberi komen, manakala Abdul Azeez pula berkata: “OK. Alhamdulillah”.

Leave a Reply

Top