Anda di sini!
Utama > Belia > Kenal Pasti Bakat Pelajar Yang Hadapi Masalah Ketidakupayaan Pembelajaran

Kenal Pasti Bakat Pelajar Yang Hadapi Masalah Ketidakupayaan Pembelajaran

Sistem pendidikan negara perlu lebih inklusif dan memberi perhatian terhadap kanak-kanak yang menghadapi masalah ketidakupayaan pembelajaran seperti disleksia.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi penekanan terhadap kategori murid yang berkeperluan khas namun ia masih tidak mencukupi bagi pelajar yang berhadapan dengan disleksia.

“Kita perlu mengajar guru kita untuk menyokong disleksia dan ketidakupayaan pembelajaran lain,¬†kebanyakan yang hadapi masalah ketidakupayaan pembelajaran mempunyai purata atau lebih bijaksana. Inilah yang kita perlu kenal pasti, kebijaksanaan dan bakat tersembunyi mereka supaya boleh dipupuk.

“Saya lihat hari ini terutama di sekolah kebangsaan terutama di kawasan luar bandar menghadapi kekurangan sumber atau kesedaran mengenai ketidakupayaan pembelajaran,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Disleksia di sini hari ini.

Untuk itu katanya ibu bapa dan guru perlu bergabung, melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran dan seterusnya memberi kesan kepada perubahan terhadap dasar sistem pendidikan negara.

Sementara itu Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Disleksia Ahmad Fitri Isahak dalam ucapannya berkata kempen meningkatkan kesedaran mengenai disleksia perlu diperluaskan memandangkan statistik menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak di dunia berdepan dengan masalah itu.

“Lebih membimbangkan lagi statistik menunjukkan 75 peratus daripada banduan di penjara dunia juga menghidap disleksia,” katanya.

Katanya Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka itu merupakan usaha pertama kumpulan yang baharu ditubuhkan itu dalam memberi pendedahan kepada masyarakat terutama ibu bapa dan guru tentang ‘perbezaan belajar’ yang dikenali sebagai disleksia.

Matlamat akhir kumpulan itu adalah mewujudkan ‘satu kelas, satu sekolah’ yang secara khusus mengendalikan pelajar disleksia di setiap sekolah, dan universiti di negara ini, katanya.

Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka diadakan sebagai Hari Sukan untuk 13 pusat disleksia di bawah pentadbiran Persatuan Dyslexia Malaysia.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia Sariah Amirin.

Leave a Reply

Top