Anda di sini!
Utama > Terkini > Kembang Silat Ke Persada Antarabangsa – Ali Rustam

Kembang Silat Ke Persada Antarabangsa – Ali Rustam

mh online

Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Rustam hari ini menggesa persatuan-persatuan silat supaya mengembangkan seni mempertahankan diri orang Melayu itu ke persada antarabangsa.

Beliau berkata ia selaras dengan seruan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara itu pada Perhimpunan Silat Pesaka Merdeka 2015 di Dataran Merdeka pada 18 Sept lepas.

“Perdana Menteri telah mengisytiharkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara, dengan itu semua persatuan-persatuan silat di Malaysia harus mengembangkannya ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Ke-29 Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia di sini, hari Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Mohd Ali berkata persatuan-persatuan silat di Malaysia harus progresif dan agresif dalam usahanya untuk mengembangkannya secara meluas seni silat warisan orang Melayu itu.

“Saya memuji apa yang dilakukan oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia kerana telah mengembangkan seni silat ke luar negara termasuk di negara-negara Eropah.

“Silat bukan sahaja seni mempertahankan diri tetapi ia juga menyumbang pingat emas di temasya sukan peringkat antarabangsa. Justeru itu, pesilat-pesilat Malaysia yang menyertai Sukan Asia 2018 harus melakukan persediaan secukupnya demi mengharumkan nama negara,”katanya.

Beliau berkata silat bakal diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai seni mempertahankan diri orang Melayu di Malaysia, sekali gus mencatatkan sejarah buat negara.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top