Anda di sini!
Utama > Sukan > Kelantan Harap Pemain Import Bantu Kutip Tiga Mata di KB

Kelantan Harap Pemain Import Bantu Kutip Tiga Mata di KB

mh online

KOTA BHARU, Pasukan Kelantan (PQP-TRW) berharap dua pemain importnya, Blazhe Ilijoski dan Dramane Traore mampu menghasilkan gol bagi membantu mendapat tiga mata pada aksi menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, pada Jumaat.

Kapten pasukan Mohd Badri Mohd Radzi berkata mereka perlu memanfaatkan seberapa banyak peluang untuk menghasilkan gol di hadapan penyokong sendiri.

“Kita perlu manfaatkan peluang bermain di tempat sendiri dan saya harap pemain dapat memberi aksi terbaik pada perlawanan itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata pemain terutama pada barisan pertahanan juga perlu memberi tumpuan dalam perlawanan itu supaya gawang Kelantan (PQP-TRW) tidak dibolosi skuad Bujang Senang, kendalian K. Rajagopal.

Katanya, pasukan Sarawak dibarisi ramai pemain hebat seperti Gilmar da Silva Filho, Ndumba Makeche, Syahrul Azwari Ibrahim dan K. Gurusamy yang mampu mencipta masalah kepada Kelantan.

“Pemain Sarawak boleh melakukan kejutan dengan taktikal yang diterapkan oleh bekas jurulatih Harimau Malaya itu terutamanya ketika mereka bermain di tempat lawan,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Kelantan PQP-TRW Nik Shahrul Azim Abd Halim berkata beliau dan rakan pasukan akan lebih berhati-hati terutama ketika berdepan Gilmar.

“Beliau mempunyai kawalan bola dan kemahiran yang bagus terutamanya berdepan dengan situasi satu lawan satu,” katanya.

Leave a Reply

Top