Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kekalkan Semangat Dan Fokus Kepada Sasaran – Ahmad Zahid

Kekalkan Semangat Dan Fokus Kepada Sasaran – Ahmad Zahid

Pemimpin-pemimpin UMNO semua peringkat diminta menggunakan kaedah sasaran mikro dan memberi lebih fokus kepada usaha menambat hati rakyat, dan bukannya mengkritik satu sama lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan sedemikian dapat memperincikan sasaran pengundi dengan melihat keperluan mereka secara berbeza.

“Kita harus memberi perhatian kepada soal yang lebih terperinci. Kita harus memperincikan sasaran kita, bukannya membuat sasaran dalam kalangan kita.

“Sebab itulah ‘micro targeting’ menyasarkan khalayak pengundi. Kita harus melakukan segmentasi kepada ‘market space’ dan bukannya ‘market place’,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan-cawangan Peringkat Terengganu di sini, pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata pendekatan itu juga sesuai dengan ekosistem dan geopolitik semasa yang sudah berubah berbanding kaedah konvensional yang tidak lagi relevan.

“‘Micro targeting’ ini harus dilakukan berdasarkan kepada setiap orang, namun kita tidak boleh gunakan pendekatan sama untuk semua orang.

“Selain itu, lihat juga kepada tindakan susulan diikuti dengan semakan serta mesti ada tindakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Barisan Nasional (BN) masih lagi parti pilihan orang Melayu dan memperoleh kepercayaan lebih 4.11 juta orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Jumlah itu diperoleh berdasarkan kajian yang mencatatkan bahawa daripada 5.23 juta orang yang mengundi BN, hampir 78.6 peratus (4.11 juta) adalah Melayu, katanya.

“Rekod itu jelas menunjukkan masih ramai orang Melayu mahu melihat parti ini memacu negara dan memperjuangkan hak mereka. Orang Melayu masih sayangkan UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid juga menggesa pemimpin UMNO di semua peringkat supaya mengekalkan semangat daya tahan, daya juang dan daya saing mereka bagi menghadapi cabaran sebelum munculnya PRU ke-14.

Selain itu, beliau meminta semua pihak menyokong kesepakatan UMNO untuk berbaik dengan parti pembangkang demi kesejahteraan bangsa dan agama.

Mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Bagi Meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Razak begitu komited untuk sama-sama mengetengahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat agama lain.

“RUU355 akan dibentang sendiri oleh kerajaan di Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Leave a Reply

Top