Keadaan keselamatan rakyat Malaysia yang kini berada di Korea Utara tidak membimbangkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang berada di negara itu dibenarkan menjalankan kehidupan seperti biasa, tidak dikurung, boleh keluar dan boleh buat urusan seperti biasa.

“Jadi tidak ada kebimbangan atas keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga sedang meneliti apa sebenarnya kehendak kerajaan Korea Utara dalam isu melibatkan kes pembunuhan rakyat negara itu di klia2, pada 13 Feb lalu.

“Dalam pada itu, kita kekalkan keputusan tidak membenarkan rakyat Korea Utara keluar dari Malaysia dan kita juga meminta polis jalankan siasatan terhadap punca dan sebab siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan Kim Chol.

“Di samping itu, kita tunggu pengesahan identitinya sebab analisis DNA (asid deoksiribonukleik) belum lagi selesai. Jadi, banyak lagi proses sebab kita nak dapatkan DNA susah, tak ada orang yang nak tampil ke hadapan, barangkali dia takut nak tampil,” katanya.

Kim Chol dilaporkan secara meluas di media sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Najib berkata Malaysia kini melakukan apa yang perlu untuk menangai isu yang melibatkan negara berkenaan.

“Kita akan lihat perkembangannya sebab saya ada beberapa perkara yang saya minta dilaksanakan, tetapi saya tak boleh maklumkan di sini. Apa yang penting ialah memastikan keadaan keselamatan rakyat kita di sana,” katanya yang enggan mengulas ketika ditanya sama ada pihak kerajaan ada menghubungi sendiri Kim Jong-un.

“Kalau apa-apa pun kita ada tindakan susulan, tetapi oleh kerana benda ini sensitif, kita mesti utamakan rakyat Malaysia, jadi kalau ada perbincangan, ia tidak boleh dibuat melalui media,” tambahnya.

Setakat ini terdapat 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka. Dua lagi adalah peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *