Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KBS Saran NGO, Persatuan Anjur Lebih Banyak Sidang Meja Bulat

KBS Saran NGO, Persatuan Anjur Lebih Banyak Sidang Meja Bulat

mh online

Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan belia disaran memperbanyak persidangan meja bulat mengenai pelbagai isu supaya pandangan golongan itu dapat diangkat dan dikembangkan di peringkat lebih tinggi.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Seri Jamil Salleh berkata perbincangan secara profesional membabitkan belia tentunya menjanjikan idea dan pandangan bernas untuk sebarang tindakan susulan oleh pihak berkaitan.

Beliau berkata pandangan belia merupakan input penting yang perlu diambil perhatian kerana golongan itu mewakili lebih 30 peratus populasi rakyat di negara ini.

“Pandangan mereka tidak boleh dipersiakan, kerana mereka adalah golongan yang bakal mentadbir negara pada masa depan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Meja Bulat Belia: Radikalisme vs Ekstremisme di Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini.

Majlis itu, anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), disertai kira-kira 50 belia dari pelbagai latar belakang pendidikan.

Persidangan itu bertujuan membincangkan punca dan cara mengatasi selain berkongsi pengetahuan berkaitan isu pembabitan golongan belia dalam kumpulan militan Daesh.

Dapatan daripada persidangan itu akan diangkat bagi tujuan rujukan kepada pihak penggubal dasar dan perancangan strategik dalam menangani isu berkenaan kerana ia membabitkan keselamatan negara.

Jamil berkata resolusi persidangan itu akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebelum dibawa ke dalam mesyuarat jemaah Menteri untuk tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Top