Anda di sini!
Utama > Nasional > Karnival Kerjaya 2016 Di MAEPS Tawar Lebih 3,000 Kerja

Karnival Kerjaya 2016 Di MAEPS Tawar Lebih 3,000 Kerja

mh online

Sebanyak 3,197 jawatan kosong ditawarkan pada Karnival Kerjaya 2016 yang akan diadakan di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 26 Mac ini.

Pengerusi MAEPS Datuk Mohamad Satim Diman berkata kekosongan itu terdiri daripada 465 jawatan siswazah, kemahiran (273) dan bukan siswazah (2,459) yang melibatkan 50 syarikat dan 10 agensi kerajaan.

“Mereka yang ingin mencari kerja hanya perlu membawa resume dan mengikuti sesi temuduga untuk mendapatkan penempatan terus di syarikat dan agensi yang terlibat.

“Karnival ini juga membuktikan negara tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing, sebaliknya kita membuka peluang kepada pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja,” katanya pada sidang media mengenai karnival itu, di sini hari ini.

Menurutnya peluang kerjaya di luar negara turut disediakan iaitu sebagai pemandu teksi bagi syarikat Emirates Taxi di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu melibatkan 300 kekosongan dan jururawat di Farok Media City, Kurdistan melibatkan 200 kekosongan.

Mohamad Satim berkata karnival yang bermula pada pukul 8 pagi itu turut menyediakan sesi ceramah mengenai panduan menghadiri temuduga serta taklimat mengenai kerjaya di sektor minyak dan gas dan di laut.

Selain itu, terdapat sebanyak 2,794 jawatan kosong yang boleh dipohon oleh pencari kerja melalui Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Kementerian Sumber Manusia, katanya.

Leave a Reply

Top