Anda di sini!
Utama > Terkini > Kalau Tak Boleh Sokong Baik Letak Jawatan

Kalau Tak Boleh Sokong Baik Letak Jawatan

mh online

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta melepaskan jawatan Timbalan Presiden Umno.

Saranan itu disuarakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan pemilihan Muhyiddin dulu adalah untuk membantu Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, itu amanah yang perlu dipegang dan sekiranya beliau tidak lagi mampu memikul amanah itu lebih baik mengundurkan diri.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menegaskan tugas Muhyiddin sepatutnya membantu presiden namun kini beliau tidak lagi berbuat sedemikian.

“Apa hal sekali pun, kalau kita tidak boleh mendokong presiden, sudahlah. Apa lagi pilihan yang ada selain daripada meletak jawatan.

“Macam-macam dia kata pada presiden. Kalau kita rasa kita tidak lagi menyokong presiden, kita tiada pilihan selain melepaskan jawatan secara terhormat,” katanya ketika menghadiri Sambutan Hari Lahir Auntie Club Padang Rengas, di Kampung Stesen, kelmarin.

Katanya, pemimpin seharusnya mempunyai semangat setia kawan dan mereka pastinya tidak menyukai apabila rakan mereka dihentam kiri dan kanan.

“Hari ini Muhyiddin hentam presiden parti dalam pelbagai cara. Saya memang tidak suka orang  melawan presiden atau pemimpin parti ini.

“Kalau betul-betul hendak melawan, lepaskan jawatan sajalah. Kenapa masih lagi memegang jawatan sedangkan tidak sehaluan dengan ketua sendiri?,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut bersetuju dengan tindakan melarang Muhyiddin berucap dalam persidangan sayap parti.

“Saya yakin apabila beliau berucap, beliau akan menghentam pemimpin parti. Sudah pasti ia akan memburukkan suasana dalam Umno itu sendiri,” katanya.

Kenyataan terbaru Mohamed Nazri itu berbeza dengan kenyataan dikeluarkannya pada penghujung Oktober lalu apabila beliau mahu Muhyiddin kekal sebagai Timbalan Presiden Umno sehingga pemilihan akan datang.

“Biarlah dia berkhidmat hingga tempoh penggalnya berakhir. Kemudian, saya akan minta Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk melawannya. Saya pasti Muhyiddin akan kalah,” katanya sebelum ini.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top