“Kalau saya menang, saya akan anggap ini sebagai hadiah hari jadi saya!”  Itulah kata-kata Syafiqah Binti Ishak, atau lebih dikenali sebagai Ika (Sabah), sebelum dia memulakan pertarungannya di Pusingan Juara Mingguan. Seakan-akan sudah dapat menjangka apa yang akan berlaku, doa Ika termakbul apabila dia berjaya mengalahkan Shaza (Kelantan), sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta imuniti daripada penyingkiran pada minggu hadapan.

Suasana di studio Sri Pentas 2 menjadi tegang ketika pusingan Juara Mingguan sedang berlangsung. Persaingan antara dua peserta terbaik minggu ini amat sengit, dan setiap soalan juga dijawab dengan penuh keyakinan. Namun, mungkin Ika sudah nekad dalam hatinya untuk dinobatkan sebagai juara minggu ketiga, dan disebabkan itulah dia telah menunjukkan prestasi yang terbaik kali ini.

Sementara itu, Fadila (Negeri Sembilan) dan Camy (Sarawak) yang gagal menandingi peserta-peserta lain, telah menduduki tangga tercorot. Dalam Pusingan Penyingkiran, kedua-dua peserta ini telah  meminta bantuan dari rakyat Malaysia untuk membantu mereka menjawab soalan-soalan yang ditujukan dengan menggunakan talian hayat “Tanya Malaysia”.

Walaupun jawapan yang diundi oleh para penoton adalah betul, Camy telah memilih jawapan mengikut gerak hatinya sendiri. Akan tetapi, nasib kurang menyebelahi Camy pada malam itu kerana jawapan yang dipilihnya tidak tepat lantas dia pun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Clever Girl Malaysia.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa soalan-soalan yang ditujukan pada malam ini agak sukar, namun saya tetap bangga kerana berjaya kekal sehingga tahap ini. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan semoga berjaya kepada para peserta Clever Girl Malaysia yang lain.”  kata Camy.

Program Clever Girl Malaysia yang dihoskan oleh Alif Satar ini merangkumi tiga segmen utama. Dalam Pusingan Pertama, para peserta perlu menjawab 10 soalan, di mana setiap soalan bernilai 5 markah. Sementara itu, markah bagi Pusingan Kedua pula adalah antara 10 hingga 100 markah, dan ianya berbeza mengikut soalan-soalan yang telah ditentukan.

Untuk Pusingan Juara Mingguan, dua peserta yang berada di kedudukan teratas akan berentap untuk menjawab soalan yang dikemukakan dengan pantas. Peserta yang berjaya di dalam Pusingan Akhir ini akan membawa pulang hadiah mingguan serta diberi Imuniti.

Dua peserta dengan markah terendah harus bersaing dalam Pusingan Penyingkiran, di mana mereka mungkin akan dinilai menerusi ketangkasan dan kemahiran mereka untuk menyelesaikan ujian IQ. Seorang peserta yang berjaya menyelesaikan soalan dengan paling tepat akan terselamat daripada tersingkir.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *