Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kabinet Tidak Dimaklum Sepenuhnya Pelaksanaan IMAMS

Kabinet Tidak Dimaklum Sepenuhnya Pelaksanaan IMAMS

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, Kabinet tidak dimaklumkan yang Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dikendalikan syarikat swasta, dipilih bagi menangani unsur penipuan dalam tawaran pakej umrah.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sistem yang dibentangkan kepada Kabinet tidak menerangkan mengenai pelantikan syarikat tertentu atau akan dilaksanakan menerusi konsep penyumberan luar.

Serentak itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat khas bagi mencari mekanisme baharu supaya pemantauan itu dilaksanakan agensi kerajaan dan bukan syarikat swasta.

“Kabinet dimaklumkan (sistem kawalan penipuan) tetapi tidak melalui sistem IMAMS,. Tiada langsung makluman

mengenai pelantikan mana-mana syarikatuntuk mengendalikan sistem pemantauan ini, apatah lagi di’outsource’kan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Yang turut hadir, isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, merangkap Yang Dipertua PEMADAM, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ahmad Zahid berkata, susulan pembatalan IMAMS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menentukan aspek pendaftaran serta peraturan kawalan tawaran pakej umrah.

“Walaupun kementerian tidak menggunakan IMAMS, saya akan minta mereka menentukan dasar dan prosedur operasi piawai (SOP) serta pemantauan terhadap sistem lain yang akan digunakan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menafikan pembatalan IMAMS adalah gimik politik kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat protes banyak pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ulama dan Pemuda UMNO.

“Saya tidak fikir ada unsur politik tapi saya hidu bau yang tidak menyenangkan hidung jika ada yang mahu mengambil peluang apabila ada ketua pegawai eksekutif (CEO) yang tidak pernah mengerjakan umrah menjadi CEO syarikat yang mengendalikan IMAMS,” katanya.

Sementara itu, kata Ahmad Zahid, kerajaan tetap komited menangani permasalahan dadah dan jenayah berkaitan dadah walaupun sehingga kini dilihat gagal dalam usaha memeranginya.

Beliau berkata, usaha memerangi jenayah berkaitan dadah bukan terletak kepada kerajaan semata-mata, tetapi menuntut komitmen seluruh pihak, agensi penguatkuasaan dan masyarakat.

Beliau turut menegaskan Malaysia tetap dengan pendirian menolak cadangan untuk menghalalkan dadah walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) meluluskan resolusi ‘menghalalkan’ penggunaan beberapa jenis dadah.

“Kami berpendirian selagi penagihan dadah tidak dihapuskan 100 peratus, selagi itulah masalah sosial melalui penagihan dadah berlaku.

“Maka, kerajaan Malaysia tidak akan mematuhi usaha antarabangsa untuk menghalalkan penggunaan dadah. Kami berasakan jika penyalahgunaan dadah ini mahu dihalalkan, ia bersifat luar norma kemanusian,” katanya.

Leave a Reply

Top