Share on Facebook

SELAMA, Kabinet yang bermesyuarat pada Rabu lalu telah mempersetujui cadangan mengenai struktur Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dikemukakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata untuk tindakan lanjut, beliau akan mendapatkan persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penetapan tarikh mesyuarat majlis berkenaan.

“Mesyuarat tersebut yang akan dianggotai oleh menteri, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar akademik akan membincangkan secara terperinci mengenai struktur majlis berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan majlis itu yang akan memberi tumpuan kepada lima kluster iaitu pendidikan, pengangkutan, utiliti, makanan dan minuman serta perumahan.

Kata Hamzah, setiap kluster akan dipengerusikan ketua setiausaha di kementerian yang terlibat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan dilantik nanti.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata lebih 106 Karninal Jualan Rakyat telah diadakan di seluruh negara sehingga Rabu lalu dengan jumlah kehadiran seramai 500,000 pengunjung.

“Karnival itu dijangka mencecah 200 minggu ini. Ini membuktikan karnival ini mendapat sambutan yang mengalakkan daripada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan pertamanya ke Pasar Majlis Perbandaran Taiping sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina sebelum itu, Hamzah berkata peniaga dilihat mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga merah jambu pada 13 jenis barangan kawalan.

“Ini menunjukkan peniaga beretika dan memahami tentang tanggungjawab mereka terhadap negara,” katanya dengan menambah peniaga boleh menurunkan harga tetapi tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *