Keadaan banjir di negeri-negeri Pantai Timur semakin pulih pagi ini dengan jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Kelantan dan Terengganu, menurun manakala di Pitas, Sabah, jumlah mangsa kekal seperti malam tadi.

Sehingga kini, terdapat 16,043 mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di negeri-negeri berkenaan berbanding 16,904 malam tadi.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 13,449 orang daripada 4,790 keluarga setakat pukul 9 pagi ini berbanding 14,074 orang daripada 4,996 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 36 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit di empat jajahan negeri ini.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 9,673 orang daripada 3,598 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 3,549 orang daripada 1,139 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan.

Terdapat 190 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 37 orang daripada sembilan keluarga berada di sebuah pusat pemindahan di Kota Bharu.

Di Terengganu, dua pusat pemindahan di Besut ditutup sepenuhnya hari ini menjadikan 27 pusat yang beroperasi ketika ini dengan jumlah mangsa seramai 2,416 orang berbanding 2,652 orang malam tadi.

Daerah paling ramai merekodkan mangsa banjir ialah Kuala Terengganu iaitu seramai 936 mangsa daripada 226 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Daerah lain ialah di Hulu Terengganu seramai 625 mangsa daripada 175 keluarga, Setiu seramai 114 mangsa (28 keluarga), Kemaman seramai 82 mangsa (22 keluarga), Marang seramai 39 mangsa (13 keluarga) dan selebihnya adalah mangsa di Dungun.

Di daerah Pitas, Sabah, kira-kira 180km dari Kota Kinabalu, bilangan mangsa banjir kekal 178 orang daripada 49 keluarga di dua pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan di SK Pekan 2 Pitas.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata 168 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan SK Rukom dan bakinya di SK Pekan 2 Pitas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *