Anda di sini!
Utama > Terkini > JPJ Guna Sistem VEP Tangani Sindiket Kereta Klon

JPJ Guna Sistem VEP Tangani Sindiket Kereta Klon

mh online

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bermula pertengahan tahun depan bagi menangani sindiket kereta klon di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sistem berkenaan akan mendaftarkan kereta asing di pintu masuk negara bagi mengelakkan kenderaan tersebut diklonkan sebelum dijual dengan harga murah di negara ini.

“Kebanyakan kereta klon ini diambil dari Singapura kerana negara itu melaksanakan dasar pelupusan kenderaan setiap lima tahun sekali dan sindiket mengambil kesempatan untuk dijadikan kereta klon.

“Kerana kelicikan sindiket ini, negara kerugian kira-kira RM30 juta pada tahun ini kerana sindiket berjaya mengelak daripada membayar cukai dan turut memalsukan dokumen kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Operasi Khas kepada kira-kira 30 anggota dan pegawai jabatan itu di Pejabat JPJ Kelantan di sini, Isnin.

Hadir sama Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Bakri.

Mengulas lanjut, Ismail berkata JPJ juga telah mengintegrasikan sistem jabatan itu dengan semua syarikat insurans di negara ini bermula Jun lepas kerana mendapati ada sebilangan pekerja insurans turut berkomplot dengan sindiket kenderaan klon.

“Hasil integrasi dengan syarikat insurans ini, kita harap dapat menutup ruang yang membolehkan sindiket ini terus beroperasi dan kita juga bekerjasama dengan SPRM bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa.

“Sebanyak 371 kenderaan pelbagai yang diklon telah disita sejak operasi berkenaan dilancarkan pada November tahun lepas hingga November tahun ini dengan dua anggota sindiket berjaya ditahan,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya turut memantau beberapa kakitangan sektor awam yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan berkenaan.

“Kemungkinan wujud unsur-unsur rasuah dalam sindiket ini dan kita sedang memantau mereka yang terlibat,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top