Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan bagi menghadapi gelombang ekonomi digital dan sektor ekonomi masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini kertas kerja bagi penubuhan jawatankuasa terbabit sedang disiapkan.

“Kita sedang berusaha mewujudkan ”think tank group” dalam soal kita berhadapan ekonomi masa depan supaya Johor dapat bersedia berhadapan cabaran-cabaran mendatang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama program Pemukiman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Exco Awayday 2017 di sini, Selasa.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti pakar ekonomi yang dapat membantu memberikan idea mahupun pandangan dalam jawatankuasa terbabit.

Sekurang-kurangna 12 pakar ekonomi dari dalam dan luar negara dijangka menganggotai jawatankuasa berkenaan yang perbincangan jawatankuasa itu kelak akan turut dihadiri semua exco kerajaan negeri, supaya mereka juga memahami cabaran ekonomi yang semakin berubah.

Menurut Mohamed Khaled, penubuhan jawatankuasa pemikir ekonomi itu merupakan antara empat fokus utama kerajaan yang akan dilaksanakan tahun ini.

Selain mencari jalan bagi menghadapi gelombang ekonomi digital, tiga fokus kerajaan negeri yang lain ialah memastikan pelaksanaan semua titik sentuhan Bajet Johor 2017 serta tahun sebelumnya, menjayakan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor dan Pelan Pertumbuhan Daerah serta menyiapkan Laporan Pembangunan Johor 2016 dengan kerjasama badan pemikir Bait Al Amanah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *