Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > JKM, FAMA Sedia Kit Makanan Mangsa Banjir

JKM, FAMA Sedia Kit Makanan Mangsa Banjir

KUANTAN, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diberi tanggung jawab menyediakan kit makanan permulaan (KMP) bagi penduduk terjejas banjir di negeri ini.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata perkara itu sudah diputuskan hasil mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, baru-baru ini.

“Secara keseluruhannya, kami sudah bersedia jika banjir melanda negeri ini. Mesyuarat sudah diadakan pertengahan bulan lalu.

“JKM dan FAMA diminta menguruskan KMP sebagai persiapan musim tengkujuh dijangka melanda negeri ini, pada bulan ini hingga Januari depan.

“Setiap KMP mengandungi air mineral, roti, mi segera, biskut kering, kopi (tiga dalam satu), barangan dalam tin seperti kari ayam dan bilis serta gelas plastik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkhairi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 686 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan sekolah, dewan orang ramai, balai raya, pusat komuniti, masjid, surau dan tempat yang difikirkan bersesuaian.

Katanya, sebanyak 116 pangkalan hadapan akan beroperasi di negeri ini bagi menyimpan bekalan makanan kepada penduduk terjejas banjir.

“Bekalan makanan disimpan di situ bagi menampung keperluan kira-kira 46,000 penduduk terjejas banjir tempoh antara tiga hingga tujuh hari.

“Bekalan makanan termasuk beras, biskut, sardin, kopi, teh, minyak masak, gula dan garam. Semua bahan itu yang tak mudah rosak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ini untuk memastikan kelancaran proses penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan jika terdapat laluan yang terputus hubungan akibat peningkatan paras air.

Leave a Reply

Top