Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jentera Siber UMNO Sebar Berita Positif

Jentera Siber UMNO Sebar Berita Positif

Jentera siber UMNO menawan hati rakyat dengan menggunakan strategi menyebarkan berita positif secara bertubi-tubi yang dibuat kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata gerak kerja jentera siber UMNO berpandangan menghantar berita positif kepada rakyat satu strategi berjaya berbanding kaedah pembangkang yang menyebarkan berita palsu dan fitnah di media sosial.

“Biro IT UMNO berpandangan apabila berita positif diviralkan sebagai contoh kepada sejuta pengguna media sosial setiap hari tanpa gagal, mereka akan nampak baiknya kerajaan BN. Mereka akan undi BN.

“Strategi buruk yang dimainkan pembangkang masih belum menepati standard yang sepatutnya tetapi kebaikan pentadbiran kerajaan BN sudah mencukupi,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Media Sosial UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini yang dihadiri lebih 3,000 ahli UMNO.

Ahmad berkata, jentera siber UMNO aktif menjalankan gerak kerja menapis berita palsu dan negatif di kawasan Parlimen masing-masing.

Katanya, jentera siber UMNO juga memainkan peranan menyebarkan aktiviti pemimpin BN di kawasan mereka dalam laman sosial yang ditetapkan UMNO.

Katanya, jentera siber UMNO turut menyediakan Bengkel Penggerak Maya, seminar media sosial dan menubuhkan Jawatankuasa Biro IT untuk memantapkan kemahiran jentera siber.

“Jentera siber UMNO mempunyai 161 kumpulan WhatsApp ketika ini. Saya akan mengingatkan mereka untuk bantu pucuk pimpinan.

“Yang perlu mereka bantu adalah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi Perhubungan Negeri dan pemimpin setempat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata Biro IT UMNO sudah turun padang ke 149 bahagian di seluruh negara untuk menghidupkan jentera siber UMNO.

“Kita akan kerapkan momentum konvensyen media sosial UMNO sehingga PRU14. Kita bercadang ke Sabah untuk menghidupkan jentera siber UMNO, selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.

Leave a Reply

Top