Anda di sini!
Utama > Belia > Jelajah TN50 Bermula Jumaat Ini

Jelajah TN50 Bermula Jumaat Ini

Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mendapat respons sangat baik setakat ini, akan memulakan siri jelajahnya ke seluruh negara bermula Jumaat ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata siri jelajah TN50 bagi mendengar pandangan dan cadangan belia di setiap negeri itu, akan bermula di Sabah bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jumaat ini, disusuli di Terengganu pada 27 Feb dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sebagai lokasi.

“Ini diikuti Johor pada 3 Mac, Perak (8 Mac), Sarawak (11 Mac) dan di kesemua negeri pada tarikh yang akan ditetapkan selepas ini. Dialog pada siri jelajah TN50 itu terbuka kepada semua belia,” katanya pada sidang media mengenai TN50 di Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Khairy turut memberi jaminan akan mendengar seberapa banyak cadangan yang diutarakan daripada golongan belia di setiap negeri pada sesi dialog diadakan sepanjang siri jelajah TN50 itu.

TN50 yang dilancarkan pada 19 Jan lepas, digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2050.

Setakat ini, dialog yang diadakan sempena TN50 ialah Dialog Perdana Bersama Perdana Menteri pada pelancaran TN50 bulan lepas, Dialog TN50 Menteri Belia dan Sukan bersama persatuan belia dan pertubuhan bukan kerajaan, serta Dialog Perdana TN50 daripada perspektif Islam bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Khairy berkata kesemua dialog yang diadakan setakat ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada golongan belia.

Selain mengambil bahagian dalam sesi dialog, golongan belia turut aktif memberi cadangan positif mengenai TN50 menerusi dalam talian, katanya.

Beliau berkata TN50 menggariskan tujuh fokus yang dikenal pasti sebagai aspirasi generasi muda iaitu nilai murni, urus tadbir, persekitaran, pendidikan, pekerjaan, gaya hidup dan meletakkan Malaysia di pentas global.

Leave a Reply

Top