Oleh : Hidayat Fansyuri

KUALA LUMPUR, Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM sebuah kolej milik penuh RISDA telah melancarkan program tanggungjawab khidmat sosialnya dengan kerjasama RISDA dan Yayasan Kebajikan Negara malam tadi bertempat di Anjung Singgah , Jalan Hang Lekiu Kuala Lumpur.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM YB Dato’ Hj. Mohd Fasiah Bin Hj. Mohd Fakeh, dalam ucapanya berkata, “program ini dimulakan pelancaranya di UCAM pada 18 april yang lalu. UCAM telah berjaya mengumpul sumbangan dana Tabung Jejak Gelandangan dan pengumpulan pakaian-pakaian yang baik untuk diberikan kepada gelandangan.”

“Selain itu, aktiviti busking juga turut diadakan di pasaraya Mydin sekitar Melaka dan Negeri Sembilan sebagai usaha memperluaskan hebahan program ini selain mempromosi UCAM kepada masyarakat”.

“Sewaktu pelancaran  Tabung Jejak Gelandangan di Bangunan RISDA Jalan Ampang pada 18 Mei yang lepas Pengerusi RISDA telah berbesar hati  meluluskan sumbangan kepada Tabung Jejak Gelandangan UCAM sebanyak RM 10,000 sebagai tanda sokongan RISDA kepada program ini”.

“Program ini juga merupakan platform buat kita semua menginsafi dan bermuhasabah diri, betapa masih lagi terdapat golongan yang memerlukan bantuan kita semua untuk meneruskan kehidupan”, katanya dalam ucapan perasmian sebentar tadi.

Menurutnya lagi, sejak 2015 UCAM telah menjalankan beberapa program CSR seperti Program Kebajikan di Rumah Orang-Orang Tua Sri Kenangan, Khidmat Masyarakat untuk haiwan dan alam sekitar di Zoo Melaka dan pada tahun ini UCAM memfokuskan kepada gelandangan.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi RISDA YB Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Besar berkata “selain sumbangan barangan makanan pakaian dan kaunseling program ini turut menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada gelandangan”.

Menurutnya RISDA akan melihat dimana peluang pekerjaan yang sesuai sekiranya mereka berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan getah milik RISDA.

Menurutnya lagi, statistik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur jumlah gelandangan sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat dan dianggarkan terdapat 5000 orang gelandangan sekitar Kuala Lumpur, dalam sehari terdapat peningkatan 1500-2000 orang di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 2017 berbanding tahun 2015 terdapat sekitar 600 gelandangan sehari.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah gelandangan tegar sekitar 500 orang dan 80% dari jumlah itu adalah orang melayu.

Justeru itu, Program Jejak Gelandangan UCAM Prihatin ini amat baik  untuk membantu golongan gelandangan bukan sahaja makanan dan minuman tetapi khidmat kaunseling dan pemeriksaan kesihatan  secara percuma dan RISDA akan membantu dari masa ke semasa mengikut keperluan, katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian.

Turut sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah RISDA Dato’ Wan Shabri Zainudin Bin Wan Mohamad, Naib Canselor UCAM Profesor Datuk Dr. Faridah Hanam Bt Mohd dan Dato’ Rafek Reshidullah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara.

 

 

 

 

 

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *