Anda di sini!
Utama > Nasional > Jawatankuasa Kerja Pastikan 50 Syor Hak Tanah Orang Asli Dilaksanakan

Jawatankuasa Kerja Pastikan 50 Syor Hak Tanah Orang Asli Dilaksanakan

Sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuh bagi memastikan 50 syor dan dapatan oleh Pasukan Khas Mengkaji Laporan Inkuiri Nasional Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Mengenai Hak Tanah Orang Asal/ Asli dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Hak Tanah Orang Asli di sini hari ini, berkata jawatankuasa kerja itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Jawatankuasa kerja itu juga akan memastikan kerjasama antara kementerian, jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan cadangan Pasukan Petugas tersebut, katanya.

“Jawatankuasa kerja ini akan menjadi platform untuk mengetengahkan pandangan kolektif dan amalan beberapa kerajaan negeri mengenai isu-isu kepentingan bersama dan untuk mencari penyelesaian yang praktikal,” katanya dalam satu kenyataan bersempena mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet itu Khamis.

Mesyuarat itu dihadiri oleh 11 orang ketua kerajaan negeri, menteri daripada beberapa kementerian yang terlibat serta Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata tiga orang pegawai akan ditempatkan di Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara khusus untuk membantu dalam memastikan kelancaran pelan pelaksanaan tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Pasukan Petugas yang ditubuhkan pada 27 Ogos 2014 telah meneliti kesemua syor dan dapatan di dalam Laporan Inkuiri Nasional SUHAKAM Mengenai Hak Tanah Orang Asli.

Ia telah dikelaskan mengikut fasa dan jangka masa siap iaitu jangka pendek (dalam tempoh setahun), jangka sederhana (dalam tempoh satu hingga tiga tahun) dan jangka panjang (melebihi tiga tahun), katanya.

“Laporan tersebut telah dibentangkan kepada kerajaan pada 3 Jun 2015 dan 50 syor dan dapatan tersebut telah diluluskan untuk pelaksanaan,” katanya.

Senarai 17 tajuk utama untuk 50 syor dan dapatan yang diluluskan adalah seperti berikut:

1. Jaminan Pegangan Tanah

2. Penjelasan Konsep Pegangan Adat

3. Pengembalian Bagi Hak Tanah Adat Yang Tidak Diiktiraf

4. Mekanisme Keadilan

5. Menangani Dasar dan Perancangan Terdahulu

6. Kajian Semula Pampasan

7. Menerima pakai Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia (HRBA) Bagi Pembangunan dan Undang-Undang Izin Berasaskan Maklumat Awal, Bebas dan Telus (IMABT)

8. Memastikan Pembangunan Tanah Tidak Memberi Kesan Buruk Kepada Orang

Asli/Asal

9. Menggalakkan Model Pembangunan Yang Berjaya

10. Dasar Yang Berbentuk Mesra Penduduk dan Pembangunan Lestari

11. Langkah-Langkah Penyelesaian Bagi Tanah Orang Asli/Asal

12. Pengiktirafan Tanah Orang Asli/Asal Di Kawasan Yang Dilindungi

13. Menggalakkan Penglibatan Secara Aktif Orang Asli/Asal dalam Pengurusan

Hutan

14. Mengadakan Kajian Semula Komprehensif Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

15. Meningkatkan Keupayaan Jabatan-Jabatan Tanah

16. Mengkaji Semula Maklum Balas Terhadap Isu Tanah

17. Pelaksanaan Segera Langkah-Langkah Penambahbaikan

Leave a Reply

Top