Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jawatankuasa Bersama Pantau Projek Di Sabah

Jawatankuasa Bersama Pantau Projek Di Sabah

KOTA KINABALU, Satu jawatankuasa bersama diwujudkan di antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerajaan Sabah bagi membincang dan memantau projek kementerian itu di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi mengatasi isu kerajaan negeri tidak mengetahui projek yang dilaksanakan kementeriannya seperti yang berlaku sebelum ini.Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dengan mesyuarat pertama akan diadakan di sini, pada isnin.

“Ia memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberi pandangan atau mencadangkan projek yang hendak dilaksanakan di Sabah sebab kerajaan negeri lebih tahu keperluan rakyat di sini.

“Pemantauan projek juga dibuat bersama oleh jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian. Jadi kita harap tidak timbul lagi masalah negeri tidak tahu projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam anjuran kerajaan Sabah sempena Mesyuarat Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Maleh dan Setiausaha Kerajaan negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan memastikan pelaksanaan projek ‘touch point’ ameniti sosial luar bandar di Sabah yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018 akan disegerakan bermula bulan depan.

Dalam pada itu, Musa dalam ucapannya yang dibacakan Pairin berkata, Sabah terus komited membangunkan luar bandar negeri ini dengan sasaran mencapai kadar kemiskinan di bawah satu peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) berbanding 2.9 peratus pada tahun 2016.

Leave a Reply

Top