Hanya sekali pertemuan, Aidan sudah nekad untuk menjaga Nadia. Sejak usia 10 tahun, Nadia bertarung nyawa dengan penyakit miokarditis atau keradangan otot jantung dan tidak dapat menjalani hidup seperti kanak-kanak lain. Kini, hidupnya diterangi cahaya kebahagiaan apabila Aidan, lelaki idamannya muncul. Adakah kebahagiaan itu akan kekal apabila rahsia yang disimpan oleh Aidan terbongkar?

Drama bersiri adaptasi novel Shh…I Love You kini sedang rancak disiarkan menerusi slot Akasia TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.58 petang. Sudah memasuki episod kelima, drama 28 episod terbitan Primeworks Studios yang diarahkan oleh Nizam Zakaria membariskan pelakon-pelakon popular seperti Gambit Saifullah, Elvina Mohamad, Hafreez Adam, Bella Nazari, Tash Yong, Adeline Tsen dan ramai lagi.

Menurut Encik Nizam Zakaria selaku pengarah drama, “Bagi saya, apa yang menarik tentang Shh… I Love You adalah pemilihan barisan pelakon muda dan ‘fresh’ yang mempunyai kemahiran berlakon dan mampu menambat hati penonton. Antara cabaran terbesar dalam pembikinan drama ini adalah saya harus pastikan jalan cerita tidak lari daripada novel asal. Hampir 70 peratus pengolahan skrip terpaksa dilakukan bagi menyesuaikan jalan cerita dengan keadaan di lokasi penggambaran, di mana satu set sahaja telah digunakan. Saya berharap para penonton akan akan ‘enjoy’ drama Shh… I Love You dan semoga drama ini mendapat respon yang memberangsangkan.”

Shh… I Love You mengisahkan Nadia Omar (Elvina Mohamed), seorang pesakit miokarditis atau keradangan otot jantung yang telah diberikan nyawa kedua selepas pemindahan jantung. Identiti penderma tersebut telah dirahsiakan.

10 tahun telah berlalu, keadaan Nadia bertambah pulih walaupun dia masih bergantung kepada ubat-ubatan hospital. Nadia dipertemukan dengan Aidan (Gambit Saifullah), seorang juruterbang apabila adik kepada Aidan, Ain (Hani Nazrina Hanizar) ingin menjodohkan abangnya dengan Nadia. Ain telah berpakat dengan adik Nadia iaitu Diana yang juga kawan baiknya untuk menyatukan Aidan dan Nadia.

Aidan terkejut apabila mendengar nama Nur Nadia Omar malahan dia menjadi lebih tergamam selepas Ain memberitahu Nadia pernah menjalani pembedahan jantung sebelum ini. Ini membuatkan Aidan bersetuju untuk berjumpa dengan Nadia. Dia ingin memastikan bahawa Nadia ialah penerima jantung tunangnya Sumayyah pada 10 tahun yang lalu.

Pada masa yang sama, keluarga Nadia sedang merancang untuk menjodohkan Nadia dengan Naufal (Hafreez Adam), seorang peguam yang sudah rapat dengan keluarga Nadia. Kehadiran Naufal telah memberikan persaingan kepada Aidan yang sanggup mengahwini Nadia tanpa wujudnya perasaan cinta. Aidan masih belum membuka pintu hatinya kepada sesiapa walaupun Sumayyah sudah lama meninggal dunia, Aidan nekad mahu menjaga Nadia hanya kerana Nadia memiliki jantung Sumayyah.

Konflik bermula apabila rahsia tentang penderma jantung Nadia terbongkar. Nadia terpukul dengan realiti itu tetapi dia tidak berputus asa untuk memenangi hati suaminya. Adakah Aidan akan mencintainya dengan sepenuh hati?

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *