Negara asing tidak seharusnya mempertikaikan kepakaran pasukan forensik dalam proses bedah siasat berhubung kematian Kim Jong-nam yang dibunuh pada Isnin lalu, kata Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan menegaskan bahawa pasukan forensik Malaysia mempunyai kepakaran yang tinggi malah berpengalaman dalam memberi kerjasama dengan pihak antarabangsa.

“Kita mempunyai pasukan forensik yang sangat berpengalaman. Salah satu insiden besar adalah membabitkan nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) apabila pasukan forensik kita ke Belanda untuk bekerjasama dengan pasukan forensik antarabangsa bagi mengenal pasti cebisan mayat mangsa.

“Pasukan forensik juga membantu dalam membantu dalam siasatan berhubung nahas pesawat AirAsia yang terhempas di Indonesia sebelum ini. Jadi, tiada pertikaian dalam kapasiti pasukan forensik kita bagi mengenal pasti siapa (mayat) dan apa (punca),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Gamma Knife dan Perasmian Wad Kristal di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKMSC) di sini, Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengerusi UKM Kesihatan, Muhamad Ibrahim.

Jong-nam yang merupakan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, meninggal dunia akibat diserang dua wanita yang bertindak menekap cecair beracun pada mukanya ketika berada di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Isnin minggu lalu.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *