PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi kata dua kepada parti-parti politik supaya tidak meletakkan calon yang ada kes rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Walaupun perlembagaan tidak menyatakan yang semua calon yang hendak bertanding mestilah terlebih dahulu menjalani proses tapisan dengan SPRM tetapi terpulang kepada parti-parti politik, jika mereka mahu kita lakukan proses tapisan terlebih dahulu, kita alu-alukan.

“Bagaimanapun jika mereka masih hendak meletakkan calon yang ada kes rasuah atau disyaki terlibat dengan rasuah, mereka mestilah berhadapan dengan risiko yang calon berkenaan menjadi subjek kepada siasatan SPRM selepas pilihan raya nanti,” ujar Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dalam dialog dengan pengarang-pengarang kanan media di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan pembentukan “Anti Corruption Media Caucus” yang akan bertemu dan berdialog berhubung kerjasama strategik membanteras rasuah.

Dzulkifli menegaskan adalah penting untuk parti-parti politik bukan sahaja memilih calon yang benar-benar bebas dari sebarang sabitan atau kes rasuah tetapi pada masa yang sama menghantar isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.

Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab parti-parti politik untuk pastikan bakal calon mereka dalam pilihan raya umum nanti bersih dari rasuah.

Dalam konteks ini beliau memuji tindakan seorang ahli Exco dari Johor yang secara sukarela melepaskan jawatannya sementara menunggu kesnya dibicarakan di mahkamah.

“Kita juga mahu menghantar isyarat yang jelas kepada masyarakat yang kita bersungguh-sungguh mahu memerangi rasuah. Sebab itulah tidak lama lagi kita akan melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah atau Gerah.

“Saya tidak mahu SPRM dilihat sebagai sebuah agensi atau aparatus kerajaan. Saya hendak rakyat lihat SPRM sebagai aparatus rakyat yang bekerja untuk rakyat iaitu struktur SPRM itu bukan sekadar independen tetapi bebas bertindak sebagai agensi rakyat,” tegasnya.

Dzulkifli yang baru mengambil alih teraju SPRM lapan bulan yang lalu juga memohon agar rakyat bersabar dengannya.

“Saya minta rakyat bersabar dan bersama-sama saya dalam perang menentang rasuah ini. Saya baru lapan bulan di SPRM bukan lima tahun tetapi misi saya ialah dalam tempoh tiga tahun ini saya hendak wujudkan masyarakat yang mempunyai kekuatan untuk tidak menerima rasuah dan memberi rasuah.

“Hari ini masyarakat benci rasuah tetapi tidak mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menentang rasuah,” katanya lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *