Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan beliau tiada masalah untuk memikul dua tanggungjawab pada satu masa.

“Boleh, boleh jangan khuatir… jangan risau. Bagi saya 10 kerja pun saya boleh buat.

“Saya yakin dengan kudrat Allah bagi ini untuk lakukan tugas dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FAS di sini, Khamis.

Selain menerajui FAS, Subahan juga merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Beliau turut mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac ini.

Menurut Subahan, sebagai presiden, beliau berperanan menyumbang idea dan menentukan hala tuju, visi serta misi pasukan kepada pihak pengurusan FAS.

“Apabila anda pegang jawatan presiden, anda bukan turun sepak bola, bukan melatih pemain. Presiden adalah orang yang meletakkan idea, visi dan misi kepada pihak pengurusan,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak menerima barisan kepimpinan baharu FAS yang ditentukan seramai 95 ahli gabungan badan induk bola sepak negeri pada pemilihan petang Khamis.

“Hormatilah keputusan kesemua ahli gabungan FAS. Kami bukan mahu glamor. Kami hanya menjalankan mandat yang diberikan demi bola sepak Selangor,” katanya.

Sementara itu, Subahan berkata barisan kepimpinan baharu FAS menganggap musim ini sebagai tahun untuk memperbaiki kelemahan pasukan Selangor terutamanya dari segi pencarian dana.

“Terus-terang saya katakan, untuk buat perubahan dalam pasukan ini ia akan memakan masa. Tiada magik, tiada jalan pintas, ia proses yang panjang. Saya lebih suka kepada proses kesinambungan kemenangan.

“Tak dinafikan pasukan kita paling miskin sekarang, kita tak dapat dana satu sen daripada pihak tertentu khususnya kerajaan negeri. Jadi tahun ini kita kena perbaiki kelemahan yang ada, kita kena cari dana,” katanya.

Beliau turut meletakkan sasaran agar skuad The Red Giants tidak tersingkir daripada saingan Liga Super pada musim ini.

“Tiada maruah yang perlu dikembalikan, Selangor masih lagi teguh dan saya cukup bangga dengan pencapaian pasukan.

“Saya berani kata sasaran kita tahun ini jangan kita tersingkir daripada liga (Liga Super),” katanya.

Pada masa sama, Subahan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer berazam untuk menggembalikan semula zaman kegemilangan Selangor pada 2018.

“Saya takkan kata dengan dana ada banyak ini (terhad) kita nak menang itu menang ini. Tidak, itu bukan sasaran saya (musim ini).

“Beri kepercayaan kepada saya, Insya-allah Selangor akan tampil lebih kuat pada tahun depan,” katanya.

Pada EGM FAS di sini Khamis, Subahan dilantik sebagai presiden FAS yang baharu selepas menang tanpa bertanding.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan sebagai presiden FAS pada Disember lalu.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *