Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jangan Buat Spekulasi Mengenai Tahap Keselamatan Negara – PM

Jangan Buat Spekulasi Mengenai Tahap Keselamatan Negara – PM

mh online

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat tidak sahih yang boleh mencetus kebimbangan umum berhubung tahap keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata agensi keselamatan negara telah diarah untuk meningkatkan lagi usaha menangani kemungkinan ancaman keganasan di negara ini susulan serangan pengganas di beberapa bandar besar dunia.

Katanya kerajaan telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi menghalang dan mematahkan sebarang usaha pengganas untuk menganggu gugat keamanan dan keharmonian negara ini.

“Ini termasuk keputusan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang akan membolehkan kerajaan bertindak dengan lebih berkesan dalam menangani keganasan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya MKN, yang dipengerusikannya, memandang dengan amat serius ancaman daripada pengganas yang bersifat keagamaan melampau.

Najib berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat MKN esok untuk membincangkan segala langkah keselamatan yang telah diambil serta perkembangan terkini termasuk kejadian keganasan di Jakarta minggu lepas.

“Saya yakin dan percaya setiap rakyat yang cintakan keamaman dan keharmonian akan bersama-sama dalam semua usaha kerajaan menentang ancaman keganasan.

“Kita mesti bersatu padu dalam menangani ancaman pengganas ini,” katanya.

Lapan orang – empat pengganas dan empat orang awam – disahkan terkorban dalam insiden serangan keganasan di Jakarta, Khamis lepas.

Susulan insiden itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi bagi mengelak insiden seumpama itu berlaku di Malaysia.

Leave a Reply

Top