Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Jalankan Audit Dalaman Berterusan Elak Salah Guna Dana

Jalankan Audit Dalaman Berterusan Elak Salah Guna Dana

Audit dalaman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan penyalahgunaan dana dan aset organisasi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ketua-ketua bahagian dan jabatan juga perlu bersikap tegas dan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pekerja atau pihak lain yang terlibat dengan rasuah dalam pelaksanaan tugas tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status mereka.

“Setiap perlakuan rasuah yang berlaku juga perlu dilaporkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan pihak berkuasa berwajib,” katanya ketika merasmikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), di sini hari ini.

Salleh berkata usaha mempromosi nilai-nilai ketelusan integriti dan tadbir urus yang baik perlulah dilaksanakan secara konsisten selain tidak membenarkan sebarang perbuatan rasuah, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam organisasi.

Ini termasuk dalam semua prosedur melibatkan pembekal, pemegang lesen, pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan, katanya.

Salleh berkata setiap warga kerja dalam organisasi juga perlu memastikan pematuhan sepenuhnya kod etika yang telah dibangunkan demi mewujudkan persekitaran budaya kerja positif dan kondusif.

Tambahnya, antara inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi membentuk budaya integriti berterusan adalah dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada warga kerja yang menunjukkan integriti dan etika tinggi.

“Kementerian dan agensi juga disaran meningkatkan saluran aduan yang selamat dan boleh diakses oleh seluruh warga kerja serta lain-lain pihak bagi tujuan melaporkan perbuatan rasuah dengan penuh yakin, tanpa sebarang risiko tekanan atau diselubungi perasaan takut,” katanya.

Salleh berkata pengukuhan sistem dalaman yang menyokong pencegahan rasuah juga boleh dibuat menerusi pembangunan program-program dan latihan kepada pihak pengurusan serta seluruh warga kerja bagi menjelaskan nilai-nilai, dasar dan prosedur yang akan digunakan dalam mencegah rasuah.

Bagi MCMC pula, Salleh berkata elemen amalan positif berteraskan nilai murni yang dikenal pasti dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) seperti jujur, ikhlas, bijaksana, adil, telus dan syukur, perlu dihayati dan sentiasa diamalkan untuk memastikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat dan pihak yang berurusan dengan agensi itu.

Leave a Reply

Top