KUALA LUMPUR, Penutupan empat jalan di ibu negara mulai 6 Okt di sekitar Jalan Tun Razak, Jalan keluar Bulatan Kampung Pandan, serta Jalan Davis bukan penutupan sepenuhnya, kata Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART).

Dalam kenyataan di sini hari ini, SMART berkata penutupan jalan berkenaan sehingga Januari tahun depan oleh Gadang CRFG Consortium Sdn Bhd adalah bagi kerja menaik taraf di Jalan Tun Razak.

“Penutupan itu adalah bagi kerja menaik taraf bagi tujuan menambah baik sistem penyuraian trafik di kawasan ibu kota, di Jalan Tun Razak dari Jalan Langgak Golf ke Bulatan Kampung Pandan dan Tun Razak Exchange (TRX),” kata SMART.

Justeru itu, SMART menasihatkan pengguna lebuh raya supaya menggunakan jalan alternatif untuk ke pusat bandar dengan lebih cepat dan selesa.

“Pengguna lebuh raya dari arah Seremban-Cheras-Sg.Besi yang hendak ke pusat bandar Kuala Lumpur seperti Jalan Tun Razak-KLCC, Bukit Bintang, boleh menggunakan Lebuh raya SMART untuk sampai ke destinasi tersebut dengan lebih lancar,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna yang hendak keluar dari pusat bandar Kuala Lumpur juga boleh menggunakan Lebuhraya SMART bagi mengelakkan kesesakan trafik seperti di Jalan Davis dan Bukit Bintang.

Untuk sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut, pengguna lebuh raya boleh melawati laman sesawang SMART di www.smarttunnel.com.my, atau mengikuti SMART di laman Facebook SMART Tunnel, Twitter @Smarttunnel dan berhubung di talian bebas tol SMART 1300-88-7188.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *