Share on Facebook

KUALA NERUS, Kerajaan negeri mahu golongan ibu tunggal di Terengganu menghasilkan pelbagai produk jahitan yang boleh dipasarkan untuk jualan dalam dan luar negara bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata usaha itu akan diselaras oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memandangkan bidang jahitan berpotensi tinggi dalam menawarkan pendapatan lumayan kepada golongan tersebut.

“Mungkin boleh buka sebuah kilang untuk menghasilkan produk jahitan dan ia akan dipasarkan dengan jenama khas yang mewakili golongan ibu tunggal di Terengganu melalui persatuan di setiap daerah.”

“Ia juga akan dijadikan produk tarikan pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana Terengganu akan mempromosikan produk keluaran ibu tunggal sebagai antara produk istimewa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian bangunan baharu untuk ibu tunggal di Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar Toh Puan Seri Halina Zakaria, Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Tunggal Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan wakil Kelab Ibu Tunggal Kuala Nerus Ajizah Othman.

Ketika ini, terdapat 32,161 ibu tunggal berdaftar dengan YPKT di seluruh negeri dan sebahagian besarnya mendapat bimbingan kemahiran dan keusahawanan daripada YPKT untuk menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama dan sampingan mereka.

Sementara itu, Mohd Shafaruddin berkata bangunan setingkat berkeluasan 0.02833 hektar yang melibatkan kos pembinaan RM266,183 itu telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Jun 2013.

“Antara kemudahan disediakan di bangunan pentadbiran ibu tunggal Kuala Nerus ini ialah satu bilik mesyuarat, tiga kiosk jualan dan satu ruang aktiviti, manakala program yang telah dijalankan setakat ini ialah kursus jahitan, masakan, solekan, urutan dan kelas mempelajari al Quran,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *