Anda di sini!
Utama > Hiburan > Jadual Saya Sangat Padat – Fattah Amin

Jadual Saya Sangat Padat – Fattah Amin

Memegang status sebagai artis paling popular bukan gelaran mudah buat pelakon Fattah Amin kerana banyak perkara perlu dikorbankan termasuk masa berkualiti bersama keluarga.

Malah kata Fattah, sejak awal tahun ini, dia belum berpeluang mendapat cuti rehat kerana jadualnya sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti seni yang memerlukan komitmen tinggi.

Impi pelakon berusia 27 tahun ini, jika diberi peluang untuk bercuti walaupun sehari apa yang ingin dilakukannya adalah menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

“Memang sekarang jadual sangat padat sehingga waktu untuk diri sendiri pun tidak ada kerana terlalu sibuk.

“Tetapi jika diberi peluang untuk bercuti walaupun sehari, saya akan gunakan untuk bersama keluarga kerana sekarang ini memang jarang dapat meluangkan waktu bersama mereka,” katanya.

Fattah ditemui pada pelancaran Raya Bergaya di Prima Valet yang diadakan di Bangi pada Khamis.

Pada acara itu, Sam yang berkolaborasi bersama Elrah Exclusice melancarkan koleksi baju Melayu bersempena Aidilfitri akan datang.

Bagaimanapun kata Fattah, walaupun sibuk dengan karier seninya dia tidak pernah merungut kerana apa yang dilakukan adalah demi keluarga dan peminat yang sentiasa menyokong karier seninya.

Malah kata Fattah dia sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memperbaiki dirinya agar menjadi seorang pelakon berkaliber.

“Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan dan memahami situasi saya yang sering sibuk dengan aktiviti seni.

“Apa yang saya ada hari ini adalah kerana sokongan mereka dan peminat,” ujarnya.

Bercakap mengenai kedatangan Ramadan, Fattah berkata, dia akan sibuk di lokasi penggambaran Hero Seorang Cinderella sehingga pertengahan bulan Ramadan.

Selain itu, dia juga akan turun padang bagi mempromosikan pakaian koleksi rayanya itu FattahAminXF8 dan Fattah Amin X Elrah Exclusive.

Leave a Reply

Top