Jabatan Perhutanan Kelantan dilapor bersedia untuk merobohkan sekatan yang dibina oleh sekumpulan orang asli susulan konflik yang tercetus antara masyarakat minoriti itu dengan kumpulan pembalak sejak tahun lalu.

Menurut Siti Kasim, peguam yang mewakili masyarakat orang asli di sana, beliau dapat melihat banyak kenderaan dari jabatan tersebut berkumpul di lokasi sekatan.

Bagaimanapun katanya, beliau hanya mempunyai sedikit maklumat tentang situasi semasa di sana.

“Saya hanya dimaklumkan oleh seorang budak lelaki yang menghubungi saya dari (Simpang) Petei.

“Katanya, mereka (anggota Jabatan Perhutanan Kelantan) mula merobohkan sekatan.

“Saya menunggu perkembangan lanjut. Buat masa ini saya hanya menunggu sekiranya mereka (orang asli) ditahan,” kata Siti yang kini berada di Gua Musang.

Menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook, Siti menyatakan bahawa anggota Jabatan Perhutanan Kelantan sedia merobohkan sekatan itu pada Isnin.

“Kelihatan banyak trak dan lori selain mereka sedang berbincang sesuatu ketika ini,” katanya.

Masyarakat orang asli di Hutan Simpan Balah bertelagah dengan kerajaan negeri dan kumpulan pembalak selepas mereka membina sekatan jalan raya sebagai membantah pencerobohan yang berlaku di tanah yang didakwa milik mereka.

Pada November lalu, sekatan tersebut dirobohkan oleh jabatan perhutanan dan berpuluh-puluh orang asli ditahan sebelum kemudiannya dibebaskan.

Namun masyarakat minoriti itu membina semula sekatan bagi meneruskan bantahan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *