Isu keselamatan termasuk berkaitan jenayah pemerdagangan orang, kerjasama dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) adalah antara fokus yang dibincangkan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson hari ini.

Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan selama 40 minit itu beliau berbincang dengan Tillerson dan bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan dan juga isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan.

“Interaksi di antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara diharapkan dapat memperkukuhkan kerasama dua hala serta menjadi pemangkin untuk Malaysia dan Amerika meningkatkan hubungan dan persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pertemuan itu di bangunan Parlimen.

Tillerson, yang melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula semalam, merupakan pegawai tinggi pertama Amerika Syarikat yang mengunjungi Malaysia di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Ia juga merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik ke jawatannya pada 1 Feb lalu.

Dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu menjalin kerjasama dengan negara-negara rakan strategik termasuk AS.

Katanya inisiatif negara mengenai isu itu telah diiktiraf Jabatan Negara AS (JNAS) dalam Laporan Tahunan 2017 yang telah meletakkan Malaysia di Tahap Dua.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah mencapai Tahap Dua berbanding dengan Tahap Dua (Pemerhatian) pada tahun 2016 kerana telah menunjukkan peningkatan yang drastik dari aspek sabitan bagi jenayah ini (100 sabitan tahun 2017) termasuk peningkatan dari aspek penguatkuasaan.

“Ini adalah merupakan pencapaian terbaik negara sehingga kini sejak Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) diperkenalkan pada 2007,” katanya.

Tambahnya Malaysia menyasarkan Tahap Satu bagi Laporan JNAS 2020.

Dalam aspek kerjasama dua hala, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan AS telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang jenayah rentas sempadan pada 17 Julai 2012 dan satu MoU dalam bidang kerjasama Imigresen pada 1 Okt 2014.

“Kedua-dua pihak harus mengguna pakai kedua-dua MoU tersebut bagi mempelopori bidang kerjasama bagi mengenal pasti ancaman jenayah rentas sempadan semasa dan akan datang serta menangani isu migrasi dan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Bagi menangani keganasan, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan AS juga telah menandatangani satu aturan mengenai perkongsian maklumat keganasan (Homeland Security Presidential Directive (HSPD-6) pada 8 Okt 2015 yang menyenaraikan individu yang disyaki disabitkan dengan jenayah keganasan.

Tambahnya Malaysia dan AS berkongsi pandangan bahawa aspek keganasan melampau dan ekstremis perlu dipantau terutamanya di media sosial bagi mengekang elemen keganasan.

“Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran mengenai aspek deradikalisasi yang telah mencapai peratusan 97.5 peratus,” katanya.

Mengenai program pengecualian visa AS yang membolehkan rakyat Malaysia untuk masuk dan tinggal di AS dalam tempoh tidak melebihi 90 hari bagi tujuan pelancongan dan perniagaan, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memenuhi enam daripada tujuh syarat bagi menyertai program ini.

Menurutnya syarat yang belum dipenuhi ialah penolakan visa AS di bawah tiga peratus setahun berdasarkan kepada permohonan warga Malaysia, dengan kadar penolakan itu berada pada kadar 3.65 peratus pada 2016.

Ahmad Zahid berkata sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat 60 tahun lepas, hubungan dua hala kedua-dua negara terus kekal dengan baik.

“Tonggak utama kerjasama dua hala adalah dalam hubungan politik, sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, hubungan sesama rakyat, pertahanan dan keselamatan, serta sains dan teknologi,” katanya.

Menurutnya AS juga merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan ke-18 terbesar AS pada tahun lepas.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS adalah berjumlah US$32.78 bilion pada tahun 2016, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *