Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Irfan Optimis Felda Mampu Raih Satu Piala Musim Ini

Irfan Optimis Felda Mampu Raih Satu Piala Musim Ini

mh online

Jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim optimis skuad bimbingannya ‘The Fighters’ mampu meraih sekurang-kurangya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini menerusi kombinasi pemain muda dan import terbaru mereka.

Biarpun memikul satu tugas berat, beliau yakin dengan kemampuan barisan pemain termasuk dua pemain import iaitu pemain pertahanan dari Brazil, Gilberto Carlos Marangoni dan pemain tengah dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev, untuk mencapai sasaran itu.

“Barisan pemain kita tidak banyak berbeza…cuma saya mengambil pemain import baharu dan mengurangkan pemain yang agak berumur berbanding musim lepas,” katanya pada sidang media selepas perasmian gelanggang sendiri iaitu Stadium Tun Abdul Razak (STAR), di sini malam ini.

Beliau berkata pasukannya dibarisi oleh banyak pemain muda dan hanya mengekalkan dua pemain veteran iaitu Shukor Adan dan Khairul Ismail yang dilihat masih mampu menunjukkan prestasi cemerlang bagi membimbing pemain muda.

Dalam pada itu, Shukor, selaku kapten pasukan, menganggap pembukaan stadium baharu ini memberi satu kekuatan buat pasukannya dalam misi memberi saingan sengit dalam Liga Malaysia.

“Ketika beraksi di Stadium Selayang sebelum ini, penonton boleh dikira dengan jari tetapi di sini begitu banyak warga Felda yang hadir untuk memberi sokongan,” katanya.

Pada musim lepas, Felda United menghuni tangga kelima Liga Super selain mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia manakala tersingkir pada pusingan pertama Piala FA.

Leave a Reply

Top