Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Insentif Khas Kepada Pihak Pelihara Warisan Terengganu

Insentif Khas Kepada Pihak Pelihara Warisan Terengganu

KUALA TERENGGANU, Kerajaan Terengganu bercadang memberi insentif khas kepada pihak yang berminat memelihara seni dan warisan sejarah negeri ini untuk tatapan generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang berkata kepantasan dan perubahan arus kehidupan moden masa kini menyebabkan sejarah dan warisan negeri ini makin mudah hilang dan dilupakan.

Ia satu kerugian khususnya kepada generasi akan datang kerana mereka tidak lagi dapat mengenali asal usul dan identiti warisan bangsa sendiri yang pernah mengecap kemahsyuran pada suatu masa dahulu, dipetik sebagai berkata.

Seminar dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada penjawat awam, tenaga pengajar institusi pengajian tinggi dan persendirian.

Mengulas lanjut, A.Latiff berkata sejarah negeri Terengganu bermula lebih awal daripada Melaka, contohnya dari segi perdagangan antarabangsa di mana pedagang-pedagang China telah lama berdagang di sini berbanding dengan kerajaan di Melaka tetapi ia tidak direkodkan.

“Begitu juga tinggalan warisan lain seperti bangunan-bangunan lama yang mempunyai keunikan tersendiri yang mempunyai perlambangan atau identiti masyarakat negeri ini. Ia haruslah dikekalkan atau jika rosak boleh dibina semula.

“Jadi dengan insentif tersebut sedikit sebanyak dapat membantu pihak yang berminat memelihara warisan berkenaan. Contohnya siapa yang ada kepakaran membina rumah tradisi Terengganu kita akan kurangkan cukai pintu atau pihak yang membeli rumah-rumah lama untuk dipelihara kita akan bagi insentif kepada pembeli rumah tersebut,” katanya.

A Latiff berkata pihak muzium akan bertindak sebagai koordinator bagi memastikan proses pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap warisan tersebut berjalan lancar dan mengikut spesifikasi yang dimahukan pihak muzium.

Langkah pemberian insentif itu juga katanya bagi memberi peluang masyarakat berkongsi tanggungjawab memelihara warisan, seni dan sejarah masyarakat di negeri ini tanpa mengharapkan sepenuhnya kepada pihak muzium memegang tanggungjawab itu.

Beliau berkata memelihara apa jua bentuk warisan bukan lagi tanggungjawab pihak muzium semata-mata, sebaliknya tanggungjawab semua pihak, termasuk komuniti dan golongan profesional, oleh kerana identiti setiap kaum di negara yang berbilang bangsa dan budaya ini perlu terus dikekalkan, katanya.

Leave a Reply

Top