Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengetengahkan inovasi oleh RISDA ke peringkat lebih tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata inovasi dan kreativiti yang dihasilkan seterusnya dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran.

“Saya lihat banyak ciptaan yang bagus dihasilkan di bawah RISDA mampu diketengahkan. Sebagai contoh Rain Guard yang saya rasa ia mampu mengatasi masalah pekebun pada musim tengkujuh.

“Selain itu juga, menerusi sistem e-kad yang dapat membantu pekebun untuk menyemak pendapatan dan pembayaran daripada RISDA,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikiin ketika merasmikan Hari Inovasi RISDA 2017 yang bertemakan ‘Budaya Inovasi Rangsangan Produktiviti’.

Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu inovasi yang dihasilkan tidak hanya bertanding untuk menjuarai pertandingan, sebaliknya hasil inovasi mesti sentiasa diperbaiki dan dimajukan untuk manfaat pekebun kecil.

Bukan saja ciptaan yang dihasilkan itu dapat memberi faedah kepada pekebun tapi juga murah dan mampu dimiliki.

“Jadi penambahbaikan perlu dilakukan dari masa ke masa untuk untuk memberi manfaat kepada pekebun kecil. Malah, untuk jangka masa panjang, ia dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya

Pada majlis itu, Pejabat RISDA Negeri Johor menerima Anugerah Perdana dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 5,000 dan piala.

Anugerah Khas Inovasi pula dimenangi oleh kumpulan Qlulut yang membuat inovasi terhadap penternakan lebah untuk menghasilkan madu kelulut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *