Malaysia akan meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan halal agar berpotensi menarik minat dunia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui penganjuran program antarabangsa yang baharu seperti Multaqa Lembaga Kuasa Halal Antarabangsa (IHAP) dan Pameran Teknologi dan Inovasi Halal (HITEx).

“Program seperti ini akan dapat menzahirkan kepada masyarakat dunia bahawa Halal Malaysia adalah istimewa dan tidak terhad kepada produk makanan halal saja.

“Selain itu, Malaysia akan turut memanfaatkan halal yang dikenal pasti sebagai sumber ekonomi baharu dengan sebaik-baiknya melalui Program Transformasi Ekonomi Islam yang mampu mengubah corak ekonomi semasa agar lebih berdaya saing dan ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia Bil 3/2017 di Perdana Putra di sini. Mesyuarat dihadiri Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Ahmad Zahid berkata, sejak penubuhannya, Majlis Halal Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan perkembangan ekosistem halal negara terus diperkasa dan menerajui halal global.

Pada mesyuarat itu, sebanyak sembilan kertas pembentangan dibincangkan iaitu dari JAKIM, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Unit Peneraju Agenda Bumiputeta (TERAJU), merangkumi dua kertas laporan, tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman.

Ahmad Zahid turut melancarkan aplikasi telefon bimbit SMART HALAL yang membantu pengguna mendapatkan maklumat berkaitan status Sijil Pengesahan Halal Malaysia dengan lebih pantas dan tepat.

Aplikasi yang dibangunkan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan JAKIM itu boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *