Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ini Pasukan Terakhir Saya Sebelum Bersara Nanti – Hai O

Ini Pasukan Terakhir Saya Sebelum Bersara Nanti – Hai O

mh online

Selepas 13 musim, Hairuddin Omar akhirnya kembali ke pangkuan pasukan Terengganu yang ditinggalkannya pada 2003.

Hairuddin, 37, atau lebih dikenali sebagai Hai-O, yang bersama Terengganu bagi musim 1999 hingga 2002, turut bertekad mahu mengulangi kenangan manis menjulang Piala Malaysia bersama pasukan kelahirannya pada 2001.

“Saya sentiasa berfikir untuk kembali bersama Terengganu kerana ia adalah pasukan pertama saya yang banyak memberikan kenangan pahit dan manis sepanjang saya bersama mereka sebelum berhijrah.

“Namun kali ini saya berpeluang mencurah bakti di negeri kelahiran pada penghujung karier saya…mungkin saya juga akan menamatkan perjalanan saya dalam arena bola sepak bersama pasukan pertama saya bermula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bekas kapten pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang terbaik dan kepercayaan yang diberikan pengurusan pasukan untuk kembali menyarung jersi Skuad Penyu.

Pemain kelahiran Setiu itu berharap dapat membantu Terengganu menduduki kedudukan terbaik dalam saingan liga, sambil memburu peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Hairuddin mengikat kontrak semusim bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini bersama bekas pemain tengah ATM, Mohd Affizie Faisal Mamat yang berasal dari Kuala Berang bagi memantapkan lagi Skuad Penyu.

Beliau berjanji akan mencurahkan segala pengalamannya untuk memastikan pasukan itu mampu bersaing dan meraih kedudukan yang terbaik musim ini.

Jelasnya Terengganu mempunyai gandingan pemain yang terbaik dan mampu memberi cabaran kepada pasukan lain selain sokongan padu penyokong yang ingin melihat Terengganu terus berada di persada liga.

Leave a Reply

Top