Jabatan Imigresen tetap mengutamakan soal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di dua pintu sempadan negara yang bakal beroperasi 24 jam sehari.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata Jabatan Imigresen bersedia memikul cabaran itu selepas diputuskan kerajaan, membabitkan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dekat sini, dan Padang Besar di Perlis, walaupun langkah itu lebih kepada faktor keperluan ekonomi dan logistik.

Beliau berkata, dari segi keanggotaan, pihaknya akan melakukan penambahan satu syif waktu kerja untuk memenuhi ketetapan waktu operasi baharu itu kerana ketika ini, Jabatan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam mempunyai tiga syif bekerja dengan minimum 31 anggota bertugas.

“Kita mungkin terpaksa mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan tiada kekangan anggota bertugas, antaranya dengan melakukan sistem penggiliran tempat bekerja.

“Pada masa sama, bagi mengelak berlakunya ketirisan di pintu sempadan ini, kita mengambil dua pendekatan iaitu penambahbaikan aspek kawalan yang membabitkan bangunan itu sendiri (CIQ) dan pos kawalan serta kemanusiaan yang diguna pakai untuk memastikan aspek keselamatan,” katanya selepas mengetuai Op Ikrar dan Op Sapu di sini, awal pagi tadi.

Mustafar mengulas tindakan kerajaan negeri Kedah dan Perlis yang bersetuju masa operasi di pintu sempadan yang dibuka selama 18 jam sebelum ini, dilanjutkan menjadi 24 jam.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan keselamatan di pintu sempadan negara terjamin, koordinasi penyelarasan dan kolaborasi dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), tentera dan polis juga penting.

Terdahulu, pada operasi bermula jam 1 pagi yang disertai 52 anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kedah dan AKSEM itu, seramai 85 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warga negara diberkas di rumah kongsi dua tapak pembinaan berasingan kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *