Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Imigresen Kini Miliki PASTAK Tangani Jenyah Rentas Sempadan

Imigresen Kini Miliki PASTAK Tangani Jenyah Rentas Sempadan

IPOH, Jabatan Imigresen kini memiliki pasukan elit, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) khusus untuk menangani ancaman ketika melakukan serbuan berisiko tinggi ke atas jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, pemerdagangan manusia dan sindiket pemalsuan dokumen.

Pasukan dilengkapi peralatan khas itu akan turut menjalankan tugas mengiringi dan mengawal warga asing bawah pengawasan serta jagaan jabatan itu dalam kes berprofil tinggi untuk tujuan pengusiran dan rayuan mahkamah membabitkan kesalahan jenayah berat.

Seramai 40 anggota perintis PASTAK selesai menjalani latihan selama 31 hari di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Markas Briged Utara Ulu Kinta dekat sini, berakhir hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata sepanjang menjalani latihan bermula 14 Januari lalu , anggota PASTAK didedahkan pelbagai modul kecergasan dan ketahanan diri.

Seterusnya, seni mempertahankan diri membabitkan tempur tanpa senjata, penggunaan pistol, pengenalan kepada bahan letupan, kaedah mengiringi tahanan, dan teknik pemeriksaan individu, bangunan serta kenderaan, di samping pelbagai aspek lain.

Buat masa ini, beliau berkata, 20 anggota pasukan itu akan ditempatkan di ibu pejabat jabatan berkenaan di Putrajaya, manakala 20 lagi dihantar ke negeri yang mempunyai risiko keselamatan tinggi.

“Operasi pasukan ini akan diletakkan sepenuhnya bawah tanggungjawab Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa jabatan, selain terus dipersiapkan dengan modul berkaitan, termasuk latihan bersesuaian dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Pasukan Khas Jabatan Imigresen di sini, pada selasa.

Mustafar berkata, PASTAK menjadi barisan hadapan dalam setiap aspek keselamatan jabatan itu, malah akan dihantar ke negara lain jika perlu bagi menghadapi cabaran dan ancaman berkaitan imigresen.

Leave a Reply

Top