Pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di universiti-universiti di Asia Barat perlu mengikuti kursus persediaan di tanah air, sebagai langkah memberi tumpuan kepada kemahiran menguasai Bahasa Arab.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kumpulan pelajar berkenaan akan mengikuti kursus itu di institusi-institusi yang akan ditetapkan kelak sebelum meneruskan pengajian masing-masing di sana.

Beliau berkata dengan adanya kursus persediaan di Malaysia, ia dapat mengurangkan kos pelajar selain menjimatkan masa mereka.

“Kerajaan memutuskan bahawa pelajar yang mahu belajar di Asia Barat perlu mengikuti kursus pradiploma dan praijazah di institusi-institusi di Malaysia.

“Perkara ini (kursus persediaan) dilakukan atas permintaan pelajar itu sendiri, ibu bapa dan organisasi terlibat,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama-sama 250 komuniti Malaysia termasuk pelajar di sini pada Jumaat.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kini dalam rangka lawatan lima hari ke Arab Saudi sehingga Ahad ini.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sedang meneliti 10 hingga 15 maahad tahfiz bagi melaksanakan kursus persediaan itu, yang akan disesuaikan dengan kurikulum di universiti-universiti di Asia Barat.

“Ini keputusan yang besar, pengumuman akan dibuat selepas rundingan dimuktamadkan dengan maahad tahfiz itu,” kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan sumbangan peribadi berjumlah 100,000 Riyal (kira-kira RM112,000) dengan setiap 30,000 Riyal (kira-kira RM33,500) akan diagihkan kepada pelajar Malaysia di Riyadh, Madinah dan Makkah.

Selain itu, sumbangan 10,000 Riyal disalurkan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi membantu pelajar Malaysia yang berdepan masalah kewangan semasa pengajiandi Arab Saudi.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan delegasinya menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi di sini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *