Anda di sini!
Utama > Terkini > Ibu Kota Jadi Pilihan Sempena Cuti Panjang

Ibu Kota Jadi Pilihan Sempena Cuti Panjang

mh online

Hari cuti panjang sempena sambutan Maulidul Rasul, Hari Krismas dan ditambah dua hari lagi cuti hujung minggu memberi peluang kepada orang ramai dari negeri lain berkunjung ke ibu kota.

Tinjauan mendapati antara kawasan kunjungan mereka selain pusat beli-belah menawarkan harga murah di sekitar Jalan Masjid India yang terkenal dengan jualan tudung dan aksesorinya, ialah Zoo Negara dan Taman Burung.

“Saya mengambil peluang cuti empat hari dengan membawa keluarga saya terutamanya anak-anak saya untuk melihat sendiri dengan lebih dekat haiwan yang terdapat di zoo ini (Zoo Negara),” kata Shaidatul Kamariah Abdullah, 29, dari Terengganu.

Walaupun terpaksa bersesak dengan orang ramai untuk membeli tiket bagi memasuki zoo, namun ia tidak melunturkan semangat keluarga Shaidatul untuk meneruskan aktiviti yang dirancang mereka.

“Kami sudah mempunyai aktiviti sendiri. Seperti hari ini kami datang ke sini (zoo) dan pada sebelah petang pula, saya akan membawa anak-anak ke KLCC,” katanya.

Bagi pengunjung dari Negeri Sembilan, Azmin Mohd Badri, 32, lawatan ke Zoo Negara sudah lama dirancang.

“Banyak perubahan yang dapat dilihat sejak kali terakhir saya mengunjungi zoo ini 26 tahun lalu, seperti infrastrukturnya yang lebih selesa, aktiviti yang lebih banyak yang boleh dilakukan kanak-kanak. Pastinya tarikan utama ke sini ialah pasangan panda gergasi dan anaknya.

“Apabila ramai pengunjung yang datang, suasana menjadi meriah dan ia membuatkan anak-anak saya makin teruja,” katanya yang turut merancang untuk ke Desa Waterpark.

Sementara itu Mohd Amru Zulkifli, 31, dari Kota Baharu Kelantan berkata beliau dan keluarganya singgah di ibu kota sebelum meneruskan perjalanan ke Johor.

Katanya mereka yang tiba semalam telah melawat KLCC, Taman Botani dan Tugu Negara.

“Inilah waktu paling sesuai untuk bercuti di ibu negara kerana dapat mengelak daripada kesesakan trafik terutama pada hari biasa.

“Saya memilih tempat yang tidak memerlukan bayaran masuk yang mahal untuk berkunjung namun masih berpeluang memberi pengalaman berbeza kepada anak-anak saya,” katanya.

Pengunjung dari Manjung, Perak, Faisal Rosni, 33, pula berkata beliau dan keluarganya memilih Taman Burung kerana mahu memberi pendedahan kepada anak-anaknya mengenai burung di negara ini.

“Daripada membawa kanak-kanak ke taman tema, tempat seperti ini pun menarik untuk diterokai. Kita pun boleh mendidik mereka dengan kepentingan penjagaan mengenai memulihara flora dan fauna,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top