Anda di sini!
Utama > Terkini > HUAWEI BERMULA DENGAN JUAL SUIS PBX

HUAWEI BERMULA DENGAN JUAL SUIS PBX

mh online

SIAPA tidak kenal dengan jenama Huawei yang kini kerap muncul di kaca televisyen menerusi lagu Huawei Best Wei, dendangan kumpulan Bunkface.

Jenama itu dikeluarkan oleh Huawei Technologies Co Ltd, sebuah syarikat multinasional China yang menghasilkan alat rangkaian telekomunikasi berpusat di Shenzhen, Guangdong.

Ia diasaskan bekas pegawai Tentera Pembebasan Rakyat, Ren Zhengfei pada 1987.

Dalam tempoh beberapa tahun pada awal perniagaannya, Huawei menjual peralatan pertukaran telefon yang diimport dari Hong Kong iaitu suis untuk pertukaran cawangan swasta (PBX).

Zhengfei kemudian memberi tumpuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan untuk menghasilkan suis sendiri melalui teknologi kejuruteraan terbaik.

Beliau membuat pelaburan besar menjalankan R&D untuk membangunkan teknologi sendiri dan mengkomersialkan suis PBX sendiri yang disasarkan kepada hotel serta syarikat kecil.

Syarikat itu mengembangkan perniagaannya kepada pasaran telekomunikasi pada 1992 apabila melancarkan suis telefon digital C&C08 yang menjadi kapasiti suis terbesar di China.

Awal perniagaannya, Huawei bermula dari bandar kecil dan kawasan pedalaman namun kini syarikat itu memperoleh syer pasaran dan memasuki pasaran arus perdana.

Syarikat itu menjadi pengeluar peralatan komunikasi terbesar di dunia, mengatasi pesaingnya pada 2012.

Kini, produk dan perkhidmatan Huawei digunakan di lebih 140 negara dan syarikat itu memberi perkhidmatan kepada 45 daripada 50 operator telekom terbesar di dunia.

Sehingga September tahun ini, Huawei dilaporkan mempunyai lebih 170,000 pekerja dan sekitar 76,000 daripada mereka terlibat dalam R&D.

Syarikat itu mempunyai 21 institut R&D di pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Pakiskan, Jerman, Colombia, Sweden, Ireland, India, Rusia dan Turki.

Leave a Reply

Top